Keperluan Wasiat Menurut Undang-Undang Malaysia

29 04 2010

.Apa perlunya wasiat sedangkan faraid telah ditetapkan oleh al-Quran. Adakah berdosa jika tidak mematuhi faraid. Ramai orang Islam yang mempunyai tanggapan sedemikian. Keadaan ini berlaku kerana kurangnya kesedaran dan pengetahuan orang ramai tentang keperluan dan kebaikan menulis wasiat.
.

Wasiat bukan setakat merancang pembahagian harta pusaka kepada benefisiari tertentu malah ia lebih daripada itu. Dengan adanya wasiat anda boleh melantik seorang wasi yang anda yakin dan percaya untuk mentadbir harta pusaka anda setelah anda meninggal dunia, demi kemudahan orang-orang yang anda sayangi. Disamping itu bagi pewasiat lelaki anda boleh melantik penjaga bagi harta anak-anak anda dikalangan orang yang anda percaya.
Faraid telah menetapkan bahagian waris masing-masing. Tetapi di Malaysia undang-undang yang terpakai dalam urusan harta pusaka sam ada orang Islam atau bukan Islam tertakluk kepada Akta Probate dan Pentadbiran 1959 dan Akta Pusaka Kecil (Pembahagian 1955). Dengan kata lain walaupun waris anda telah berhak mewarisi harta si mati di bawah hukum Faraid atau pun sijil Faraid telah diperolehi daripada Mahkamah Syariah, tetapi harta tersebut hanya boleh diwarisi oleh waris setelah surat kuasa di keluarkan oleh mahkamah. Sementara itu Harta Pusaka si mati akan dibekukan sehinggalah surat kuasa tersebut di perolehi.
.
Menurut Akta tersebut jika seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan wasiat yang lengkap dengan melantik wasi yang berwibawa untuk mentadbir hartanya, Probate akan dikeluarkan, manakala bagi kes seseorang meningal dunia tanpa meninggalkan wasiat Surat kuasa mentadbir akan dikeluarkan oleh makamah.
Apabila seseorang meninggal dunia tanpa meninggalkan Wasiat, maka seorang pentadbir yang bertanggungjawab diperlukan untuk memohon Surat kuasa mentadbir dari mahkamah dan menguruskan penyerahan harta kepada waris sehingga selesai. Pentadbir mestilah dipilih dikalangan waris. Ini akan menimbulkan kekecohan atau pertelingkahan sekiranya tiada kata sepakat dalam menentukan siapa yang layak untuk mentadbir (pentabdir adalah orang yang pertama sekali akan memegang harta simati). Tambahan pula dua orang penjamin yang mempunyai sekurang-kurangnya nilai harta yang sama dengan simati dikehendaki dalam proses mendapatkan surat kuasa mentadbir dari mahkamah. Penjamin ini diperlukan untuk menjamin Bon Pentadbiran (bagi nilaian harta RM50,000 dan ke bawah atau melantik syarikat amanah sebagai pentadbir terkecuali daripada syarat ini). Proses mendapatkan surat kuasa mentadbir adalah diantara 2-5 tahun. Kesukaran mendapatkan kata sepakat dalam memilih pentadbir serta mendapatkan penjamin melewatkan proses pengeluaran surat kuasa mentadbir. Sebaliknya bagi seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan Wasiat yang lengkap prosesnya adalah lebih cepat di antara 6 bulan-1 tahun sahaja kerana wasi telah sedia dipilih oleh si mati semasa hidup malah tidak perlu membayar bon pentadbiran jika wasi yang lantik berkemampuan melaksanakan tugas.
.

Wasiat Menurut Islam

Orang Islam digalakkan menulis wasiat.
Diriwayatkan Talha bin Musharrif Saya bertanya Abdulah bin Abu Aufa, “adakah Rasulullah S.A.W membuat Wasiat? Dia menjawab tidak”, saya bertanya beliau “bagaimanakah umat Islam difardukan supaya berwasiat (atau diperintahkan supaya berwasiat? Ia menjawab: Raslullah berwasiat dengan kitab Allah (al-Quran).
.Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1).
.
Hukum menulis wasiat ke atas orang Islam adalah sunnat kerana terdapat hadis yag menyuruhnya serta perbuatan sahabat-sahabat besar yang hampir keseluruhanya meninggalkan wasiat. Ibn Umar meriwayatkan Rasullulah s.a.w bersabda bermaksud: “Tidak wajar kepada seseorang Islam apabila terdapat sesuatu yang hendak ia wasiatkan maka ia tidur dari dua malam melainksn wasiatnya itu tertulis disisinya (riwayat Muttafaq Alaih).
Hadis riwayat Jabir menerangkan kelebihan orang berwasiat di mana Rasulullah s.a.w bersabda: “sesiapa yang mati meninggalkan wasiat maka ia mati atas jalan Islam, mati dalam keadaan mengikuti sunnah, mati dalam ketaqwaan, mati dalam syahadah, dan matinya diampuni”(riwayat Ibn Majah).
.
Sebagaimana dinyatakan, kebanyakkan para sahabat Rasulullah s.a.w berwasiat. Al Qurtubi menceritakan di dalam tafsirnya bahawa saidina Abu Bakar dan Saidina Ali mewasiatkan satu perlima dari hartanya, saidina Umar mewasiatkan satu perempat, manakala Sa’ad ibn Waqas mewasiatkan satu pertiga.Manakala Saidatina Aisyah pula mewasiat barangan rumahnya kepada bekas-bekas hambanya. Ibn Umar pula mewasiatkan kepada bekas-bekas isterinya setiap seorang 4,000 dirham. Contoh-contoh ini menunjukkan para sahabat faham berwasiat adalah satu kewajiban agama yang dituntut walaupun ia bukan sesuatu yang difardukan (diwajibkan).
Kadar harta yang boleh di wasiatkan adalah setakat satu pertiga dan kepada bukan waris.
Namun Islam membenarkan berwasiat lebih daripada satu pertiga atau kepada waris dengan syarat mestilah mendapat persetujuaan waris-waris lain selepas kematian pewasiat. Terdapat pengecualian di Selangor, menurut Seksyen Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 dibenarkan berwasiat satu pertiga kepada waris tanpa perlu persetujuan waris lain.
.
Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada bukan waris untuk turut menikmati harta, seperti anak atau ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa tujuan kebajikan.
.
Kesedaran Tentang Faraid
Ramai yang salah faham tentang konsep Faraid. Sebenarnya harus difahami bahawa Faraid hanya menetapkan nilai saham atau bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu bukannya menentukan bentuk pembahagian. Pembahagian yang dibuat sewajarnya perlu munasabah mengikut kesesuaian dan mestilah mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi dan mampu meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi waris. Salah tanggapan ini menyebabkan banyak kes yang berlaku dimana satu harta dikongsi oleh ramai waris dan ini tentunya mendatangkan kerugian dari segi ekonomi. Keadaan ini menyebabkan nilai komersial hilang dan hartanah sukar untuk dimajukan kerana pewaris gagal mendapat kata sepakat dalam usaha memajukan tanah tersebut. Contoh terdekat dapat dilihat di Kg. Baru satu lot tanah yang hanya seluas 1.8kaki persegi dikongsi seramai 90 orang. Walaupun waris berhak ke atas lot tanah tersebut tetapi dari segi nilai tiada harga. Malah untuk memajukannya juga banyak kekangan kerana perlukan persetujuan semua pihak terbabit.
.
Kesimpulan
Dalam menangani masalah ini wasiat boleh memainkan peranan. Orang ramai digalakkan membuat wasiat dan melantik wasi untuk mentadbir hartanya apabila meninggal dunia. Dan di dalam Wasiat tersebut anda tetapkan bahawa pembahagian harta tersebut adalah mengikut Faraid dari segi saham/ bahagian tetapi anda boleh menentukan secara khusus harta –harta tertentu kepada waris-waris tertentu berdasarkan saham mereka menurut Faraid. Contohnya anak lelaki anda beri rumah A manakala tanah B anda beri kepada anak perempuan. Dengan berbuat demikian masalah perkongsian satu harta dengan ramai waris dapat dielakan. Sekiranya harta yang anda tinggalkan tidak banyak adalah lebih baik anda memberi kuasa kepada wasi untuk membahagikan harta menurut saham faraid dan pada masa yang sama memberi kuasa kepada wasi untuk bertindak dengan budi bicaranya membahagikan harta tersebut dengan mengambil kira aspek ekonomi.

Sumber:http://warisanharta.blogspot.com/2008/07/keperluan-wasiat-menurut-undang-undang.html


Actions

Information

One response

16 07 2010
Anonymous

mungkin….renung kembali….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: