Wanita rugi RM1.2 juta ditipu kenalan Internet

4 06 2010

Source:utusan.com.my
KUALA LUMPUR 3 Jun – Walaupun kerap kali didedahkan tentang penipuan kenalan laman sembang di Internet, namun kegiatan tersebut masih terus berlaku.

Kali ini, seorang suri rumah dari Sabah kerugian RM1.2 juta akibat diperdaya kenalan Internetnya, menggunakan nama Jeff Brian Manik yang tidak pernah ditemuinya.

Segala-galanya bermula pada tahun lalu apabila mangsa, Lee, 47, didatangi lelaki tersebut yang memperkenalkan diri dan ingin berkenalan dengannya.

Menurut Lee, Jeff, warga British berusia 30-an, bekerja sebagai seorang jurutera berdasarkan gambar dan maklumat peribadi di dalam profilnya.

Lee memberitahu, dia dan Jeff bagaimanapun jarang berhubung kerana masing-masing tidak aktif dalam laman itu dan hanya mula menjadi akrab sejak dua bulan lalu.

Pada 7 April lalu, dalam perbualan telefon, Jeff menyatakan hasrat untuk menghadiahkannya bungkusan hadiah bernilai 21,400 pound sterling (RM102,738) mengandungi barangan mewah dan berjenama.

“Antaranya iPhone 3GS, beg tangan Louis Vuitton, komputer riba Compaq, jam tangan Roberto Cavalli dan lima barangan lain.

“Saya tidak mahu menerimanya tetapi dia berkeras ingin memberi menerusi khidmat penghantaran bungkusan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Menurut Lee, dia juga diberitahu bahawa bungkusan itu akan dihantar oleh seorang wakil syarikat yang bernama Jennifer Smith.

Enam hari selepas itu, Jennifer menghubungi Lee dan memintanya membuat pembayaran wang pendahuluan sebanyak RM16,500 sebagai yuran pemprosesan sebelum boleh menuntutnya daripada kastam.

“Tanpa berfikir panjang, saya mendepositkan wang itu ke dalam dua akaun tempatan pada esoknya, tetapi selepas menunggu selama beberapa hari, bungkusan itu tidak sampai,” katanya.

Kira-kira seminggu selepas itu, katanya, Jeff menghubunginya lagi dan memohon maaf kerana bungkusan tersebut tidak dapat diterima.

“Dia berjanji akan menggantikan dengan hadiah yang lebih besar. Kali ini, Jeff ingin memindahkan dana 2.5 juta pound sterling (RM12 juta) ke dalam akaun saya.

“Alasannya wang itu ingin digunakan untuk pelaburan di Malaysia. Jeff berbudi pekerti tinggi, sopan santun dan pandai mengambil hati saya sehingga saya begitu mudah memaafkannya.

“Dia turut menyatakan hasrat untuk melawat Sabah dan bertemu dengan saya apabila selesai kerjanya kelak, justeru sejumlah besar wang itu dipindahkan ke dalam akaun saya dahulu,” jelasnya.

Meskipun merasakan seperti tidak masuk akal, namun Lee berkata, dia diyakinkan dengan kedatangan seorang rakan Jeff yang dikenali sebagai David Brown ke Kuala Lumpur.

Katanya, dia yang ditemani kakaknya datang ke ibu negara untuk bertemu David di salah sebuah hotel dan kemudian ditunjukkan sebuah beg berisi wang kertas pound sterling.

“David meminta saya membuat pembayaran sebanyak RM200,000 sebelum wang itu boleh dimasukkan ke dalam akaun saya.

“Lebih menyakinkan apabila saya diberikan sekeping sijil pemilikan wang tunai 2.5 juta pound sterling yang diletakkan atas nama saya,” katanya.

Lee berkata, dia membuat pembayaran itu seperti diarahkan David ke dalam beberapa akaun bank milik rakyat tempatan di antara 27 dan 5 Mei lalu.

“Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan daripada seorang lelaki bernama Martin Williams yang mendakwa ejen Jeff dan memaklumkan bahawa saya perlu membuat bayaran RM1 juta.

“Ia adalah untuk cukai 10 peratus bagi meluluskan pemindahan dana tersebut. Dengan niat untuk membantu Jeff, saya mengeluarkan simpanan.

“Saya juga meminjam daripada kakak untuk membuat pembayaran itu dengan rela hati,” tambahnya.

Lee berkata, akhirnya dia tersedar bahawa dirinya telah ditipu, namun segala-galanya sudah terlewat kerana wang sebanyak RM1.2 juta miliknya itu telah lesap dalam tempoh kurang daripada dua bulan.

Berikutan itu, dia telah membuat laporan di Balai Polis Karamunsing pada 30 Mei lalu, sebelum mengadu di Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA awal minggu ini.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: