Bank Persatuan:Bank Koperasi ke-2

25 07 2010

Source:Berita Harian
Tiga lagi koperasi mohon tubuh bank
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menerima tiga lagi permohonan bagi menubuhkan bank koperasi di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia termasuk Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) yang mahu mengubah statusnya kepada bank koperasi dan menumpukan perkhidmatan kepada perbankan korporat.

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan nama dua lagi koperasi terbabit yang mengemukakan permohonan bagi tujuan itu, tetapi menegaskan jika permohonan berkenaan diluluskan, bank koperasi berkenaan tidak akan bersaing sesama sendiri kerana menawarkan perkhidmatan berlainan.

“Kami sudah menerima tiga lagi permohonan untuk menubuhkan bank koperasi, bagaimanapun koperasi berkenaan perlu memenuhi syarat yang ditetapkan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi kad pelbagai guna koperasi (Kad Co-Op) antara Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dan Angkasa di Kuala Lumpur, semalam.

Bank Rakyat diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat, manakala Angkasa oleh Yang Dipertuanya, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum. Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe; Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim dan Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Mangsor Saad.

Ismail Sabri berkata, jika permohonan Angkasa diluluskan, ia bakal menjadi bank koperasi ketiga di negara ini selepas Bank Rakyat dan Bank Persatuan.

Katanya, Bank Persatuan yang sebelum ini dikenali sebagai Koperasi Bank Persatuan Malaysia Bhd dijangka mula beroperasi sebagai bank koperasi pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, kad Co-Op ditawarkan kepada 4.98 juta ahli 3,906 koperasi yang bernaung di bawah Angkasa.

Katanya, kad berkenaan yang akan dilancarkan pertengahan tahun ini boleh digunakan sebagai kad ATM, kad debit, kad diskaun daripada Rakan Diskaun Bank Rakyat dan juga kad loyalti bagi mata ganjaran.

“Pemegang kad Co-Op boleh menikmati kemudahan transaksi ATM seperti pengeluaran tunai, pembayaran bil setempat, tambah nilai prabayar telefon bimbit, pembayaran zakat dan perkhidmatan Tabung Haji menerusi 7,000 rangkaian MEPS di seluruh negara,” katanya.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: